Label-1

Label-2

Label-3

Polis Cawangan Khas serbu pejabat timbalan pendakwa raya di SPRM



Polis Cawangan Khas serbu pejabat timbalan pendakwa raya di SPRM


Pegawai Cawangan Khas menghabiskan masa selama 2 jam melakukan serbuan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Sazilee Abdul Khairy malam tadi, mengambil dokumen berkaitan siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), menurut sumber daripada agensi anti-rasuah itu.

Sazilee, yang dipinjamkan kepada SPRM daripada Jabatan Peguam Negara, ditahan semalam berhubung dakwaan wang daripada syarikat berkaitan kerajaan disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan yang Cawangan Khas, unit perisikan polis, pergi ke pejabat Sazilee di Bahagian Operasi Khas SPRM di Presint 3, Putrajaya, di mana mereka merampas dokumen dan sebuah komputer riba.

Antara dokumen yang disita adalah yang memperincikan skop operasi siasatan.

Terdahulu, pegawai polis juga pergi ke rumah Sazilee di Presint 11, Putrajaya.

Bahagian Operasi Khas bertanggungjawab dalam siasatan SPRM ke dalam 1MDB dan SRC International, kata sumber.

SPRM adalah sebahagian daripada pasukan petugas khas kerajaan yang menyiasat 1MDB serta dakwaan yang dilaporkan The Wall Street Journal (WSJ) yang AS$700 juta (RM2.67 bilion) mengalir melalui syarikat berkaitan 1MDB dan akhirnya masuk ke akaun bank peribadi Najib di AmBank di Kuala Lumpur.

Daripada jumlah itu, AS$11.1 juta (RM42 juta) bersumber daripada SRC International dan disalurkan melalui syarikat lain – Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana – sebelum ia berakhir di akaun Najib dalam transaksi yang dijalankan antara bulan Disember 2014 dan Februari tahun ini.

WSJ yang melaporkan perkara tersebut pada 2 Julai berkata, ia memperoleh sumber maklumat ini daripada penyiasat kerajaan Malaysia.

Najib sebelum ini menafikan mengambil dana 1MDB untuk kegunaan peribadi, tetapi tidak secara langsung menyebut mengenai pemindahan dana itu. Akaun di AmBank di bawah namanya itu kini ditutup.

Berikutan laporan WSJ itu, pasukan petugas kerajaan mengumumkan ia menyerbu SRC International, Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana. SRC International juga mempunyai akaun banknya yang dibekukan.

Lima orang turut ditangkap 2 minggu lalu bagi membantu siasatan terhadap SRC International dan kemudiannya dibebaskan daripada tahanan reman.



SRC International kini merupakan syarikat milik Kementerian Kewangan, tetapi pernah menjadi anak syarikat 1MDB. Ia mengundang kontroversi kerana mengambil pinjaman RM4 juta daripada dana pencen kerajaan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP) yang dijamin kerajaan persekutuan.

Tangkapan polis atas Sazilee semalam adalah yang ketiga terhadap individu daripada agensi yang terlibat dalam pasukan petugas itu.

Dua lagi yang turut ditahan ialah Tan Sri Rashpal Singh, bekas penasihat SPRM, dan Jessica Gurmit Kaur, seorang pegawai Jabatan Peguam Negara.

Sazilee, Rashpal dan Jessica dibebaskan pada tengah malam tadi selepas disoal siasat.

Selain SPRM dan Jabatan Peguam Negara, 2 agensi lain terlibat dalam pasukan petugas menyiasat 1MDB itu ialah polis dan Bank Negara Malaysia.

Polis berkata, mereka sedang menyiasat dakwaan wujudnya kebocoran maklumat rasmi mengenai siasatan itu kepada warga asing.

SPRM pula menafikan kebocoran yang dikatakan dibuat oleh orang dalam agensinya selepas laman web Malaysia Today menamakan Rashpal dalam satu artikel, menuduh beliau berjumpa dengan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di United Kingdom berhubung maklumat mengenai 1MDB.

Sarawak Report, yang aksesnya kini disekat di Malaysia oleh pengawal selia Internet, sebelum ini membuat pendedahan mengenai 1MDB yang mengaitkan Najib.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata, penangkapan Sazilee, Rashpal dan Jessica adalah berkaitan dengan laporan polis yang dibuat terhadap Rewcastle-Brown, yang dituduh terlibat dalam konspirasi asing untuk menjatuhkan Najib. – 2 Ogos, 2015.

Sumber: themalaysianinsider
«
Next

Newer Post

»
Previous

Older Post


No comments:

Leave a Reply