Label-1

Label-2

Label-3

'Amoi Cina' tu macam cucu saya


'Amoi Cina' tu macam cucu saya


"Saya ingat dia macam cucu saya. Itu juga bukan jadi amalan kita. (Ia berlaku) di tengah ratusan ribu manusia, bukannya di taman bunga dan di tepi pantai," kata Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.

Itulah jawapan bekas timbalan presiden PAS apabila diajukan soalan berhubung imej tersebar menunjukkan seorang gadis Cina bergambar mesra dengan bersandar di bahunya sewaktu himpunan BERSIH 4 hujung bulan lalu.

"Kejadian yang langsung tak dirancang oleh sesiapa. Orang puluhan ribu datang ambil gambar. Adalah bapa dan anak, bapa sebelah kanan (mahu) berselfie.

"(Dan) anaknya yang begitu muda (pula). Saya ingat (dia) macam budak sekolah, dianggapnya saya ini macam atuknyalah," kata yang mengundang gelak ketawa sewaktu diwawancara Malaysiakini.

Walaupun dikelilingi rakan-rakan yang mengawal pergerakannya, namun Mohamad berkata tidak dapat berbuat apa-apa dengan kehadiran ratusan ribu peserta yang mahu bergambar dengannya.

"Saya ingat budak tu macam cucu saya, (ketawa). Di tengah-tengah ramai yang hadir walau saya dikelilingi kawan-kawan yang menjaga. Nak jalan seratus meter pun kadang-kadang sampai sejam. Orang datang ambil gambar," katanya lagi.

Ditanya berhubung beliau, ketika itu melalui Gerakan Harapan Baru (GHB), gagal menarik peserta Melayu ke perhimpunan itu, pemimpin yang mesra dipanggil Mat Sabu itu menepis dakwaan tersebut.

Beliau menyifatkannya perkara itu sebagai analisis yang "tidak adil".

Ini kerana, katanya, kumpulan itu - yang menubuhkan AMANAH sehari selepas BERSIH 4 - masih tidak mempunyai mekanisme yang berkesan berbanding sewaktu beliau memobilisasi anggota PAS sebelum ini.

"Maka kita buat (seruan ke BERSIH 4) dalam ceramah seperti biasa. Dan mekanisme untuk mengeluarkan penyokong tak berlaku secara licin.

"Kalau ada himpunan BERSIH akan datang, kita lihat daripada Parti Amanah Rakyat, akan melimpah di Kuala Lumpur," katanya.


Bagaimanapun, Mohamad berkata peserta Melayu hanya kurang pada hari pertama perhimpunan tetapi ia bertambah pada keesokkn hari, sekali gus menafikan bahawa BERSIH 4 adalah himpunan untuk kaum Cina.

PAS bukan musuh utama

Mohamad berkata, AMANAH sekarang masih menumpukan proses menubuhkan kawasan dan cawangan di peringkat negeri.

Mengulas mengenai hala tuju AMANAH - yang ditubuhkan pada 31 Ogos lalu - Mohamad berkata ia satu gagasan baru dalam persada politik negara dan sama sekali tidak melihat PAS sebagai musuh utama.

Sambil mengakui kemunculan parti baru sering diberi dengan pelbagai gelaran, Mohamad menganggap ia sebagai "perkara biasa" dan kadang kala ukuran sokongan parti baru perlu diukir dari sudut mood dan suasana bukan dari umur semata-mata.

"Kita tidak melihat PAS sebagai musuh utama. Tidak sama sekali, sebab semua orang PAS menjadi penyokong kita dan pada masa akan datang.

"Biasalah, bila parti baru ditubuhkan macam-macam lah gelaran yang diberikan kepada kami. Kami biasa. Bagi Abang Mat biasalah," katanya.

Ditanya mengenai azamnya untuk memimpin AMANAH, Mohamad berkata beliau berazam sekurang-kurang untuk meninggalkan legasi atau pemikiran integriti demi menuju suasana baru dalam politik negara.

"Ini azam saya. Saya tidak fikir sama ada dalam pilihan raya saya nak bertanding. (Itu) bukan tujuan utama saya. Bagi saya, saya nak utarankan soal integriti dan akhlak dalam Islam," katanya.

Beliau turut mempersoal sikap sesetengah ahli parlimen yang tidak menunjukkan soal integriti dengan menunjukkan kemewahan seperti memakai kereta besar selepas dipilih menjadi wakil rakyat seperti mana pemimpin Islam di negara Timur Tengah.

"Tapi bila orang nak lihat keadilan sosial, orang tengok ke Finland, Sweden, Jerman. Ini memalukan kita (orang Islam), kita (jadi) tukang syarah.

"Kita tengok hari ini, kalau jadi ahli parlimen kalau tak pakai kereta mewah, tidak sah. Kenapa begitu? Ada ADUN DAP yang masih pakai kereta Viva, (tapi) dari parti Islam, tak pakai kereta besar, tak sah. Kenapa berlaku seperti itu?" soal Mat Sabu.
«
Next

Newer Post

»
Previous

Older Post


1 comments